HUKUM HAKAM FIDYAH

Fidyah merupakan satu kewajipan dalam Islam yang ditetapkan bagi menggantikan ibadah puasa Ramadhan yang ditinggalkan dalam keadaan tertentu. Ia berfungsi sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial dan ibadah yang bertujuan membantu golongan fakir dan miskin, di samping menjaga kesempurnaan tuntutan syariat Islam.
Dari sudut bahasa, fidyah bermaksud tebusan, manakala dari sudut istilah syarak, fidyah ialah bayaran berupa makanan asasi yang wajib dikeluarkan bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan oleh individu yang tidak mampu menunaikan puasa atau tidak mampu menggantikannya dengan puasa qada’. Kewajipan fidyah ini berlandaskan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 184, yang menjelaskan kewajipan memberi makan kepada orang miskin bagi mereka yang tidak mampu berpuasa.
Firman Allah SWT:
Yang bermaksud: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”
SEBAB-SEBAB DIKENAKAN FIDYAH
1. MENINGGALKAN PUASA KERANA TUA
Orang tua yang tidak mampu berpuasa dan jika mereka berpuasa akan memudaratkan dirinya sendiri dan kesihatan tubuh badannya.
2. MENINGGALKAN PUASA KERANA SAKIT
KRONIK
Orang yang sakit berpanjangan dan tidak diharapkan boleh sembuh berdasarkan pengesahan doktor perubatan.
3. MENINGGALKAN PUASA KERANA HAMIL
Wanita yang bimbang akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Mereka hendaklah membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.
4. MENINGGALKAN PUASA KERANA MENYUSUKAN ANAK
Ibu yang merasa bimbang akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Mereka hendaklah membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.
5. MENINGGALKAN PUASA KERANA MUSAFIR ATAU SAKIT DAN TIDAK QADA’ PUASA PADA TAHUN IA DITINGGALKAN
Musafir dan Pesakit yang tidak menggantikan (qada’) puasa pada tahun ia ditinggalkan wajib menggantikan (qada’). Sekiranya tidak menggantikan (qada’) puasanya sehingga telah memasuki Ramadan berikutnya, ia diwajibkan untuk membayar fidyah dan kekal menggantikan (qada’) puasanya.
6. MELAMBATKAN GANTI PUASA (QADA’)
Mereka yang melambat-lambatkan ganti (qada’) puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadan) dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.
7. ORANG YANG TELAH MENINGGAL DUNIA
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.
Bayaran fidyah boleh dibuat secara atas talian melalui fpxv2.mais.gov.my atau di kaunter Baitulmal MAIS atau Baitulmal Daerah yang terdapat di Pejabat Agama Islam Daerah dalam Negeri Selangor secara tunai.
Hasil bayaran fidyah perlu diserahkan kepada Baitulmal dan akan dimasukkan ke dalam akaun Amanah Harta Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor sebelum urusan pengagihan kepada fakir miskin dalam bentuk beras dan bekalan makanan dilaksanakan. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman sesawang MAIS iaitu www.mais.gov.my. Edisi



