Minda Pengerusi MAIS

Hayati Hikmah Eidul Fitri: Memperteguh Ukhuwah, Memperteguh Ukhuwah, Menyantuni Insan

Eidul Fitri hadir sebagai hari kemenangan buat umat Islam setelah sebulan melalui “madrasah Ramadhan” yang mendidik jiwa dengan erti kesabaran, keikhlasan, dan ketakwaan. Namun, perlu kita sedari bahawa kemenangan hakiki bukan sekadar kejayaan menahan lapar dan dahaga sahaja. Sebaliknya, ia adalah kejayaan membentuk insan yang berakhlak mulia, bertakwa, dan memiliki rasa simpati yang tinggi terhadap mereka yang memerlukan.

YAD Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Justeru, sambutan Eidul Fitri sewajarnya dihayati dengan penuh hikmah, kesederhanaan, dan keprihatinan, bukan sekadar meraikan kemeriahan dan keseronokan semata-mata.

Dalam keriangan menyambut hari raya bersama keluarga tercinta, janganlah kita melupakan golongan yang kurang bernasib baik seperti asnaf fakir miskin, anak yatim, warga emas, serta mereka yang diuji dengan kesempitan hidup. Ini kerana Islam menuntut kita untuk sentiasa mengutamakan nilai kasih sayang dan memelihara ukhuwah.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 92 yang bermaksud: “Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kebajikan yang sempurna sebelum kamu menginfakkan sebahagian daripada apa yang kamu cintai.

Ayat ini menegaskan bahawa kemanisan iman dan kebajikan yang sempurna hanya akan lahir apabila kita bersedia berkongsi rezeki dengan penuh keikhlasan.

Sebagai Pengerusi MAIS, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pembayar zakat dan fidyah. Melalui sumbangan anda, golongan yang memerlukan dapat disantuni dan turut merasai nikmat kegembiraan Eidul Fitri. Teruskanlah amalan mulia ini melalui sedekah, infak dan wakaf demi manfaat ummah sejagat. Eidul Fitri merupakan medan terbaik untuk kita memperbaiki diri, menghapuskan perasaan dendam, serta menyuburkan budaya saling memaafkan. Namun, dalam keghairahan meraikan kemenangan, beberapa perkara harus tetap menjadi keutamaan:

Budaya Fitnah

Janganlah sesekali menjadikan perbuatan fitnah serta penyebaran berita palsu sebagai satu kelaziman dalam kehidupan seharian kita. Budaya fitnah ini juga dilihat telah menular sehingga ke institusi agama dan ini boleh menyebabkan hilang rasa kepercayaan masyarakat terhadap institusi agama. Ingatlah firman Allah SWT: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan”
(Surah al-Baqarah: 191).

Menjaga Adab & Maruah

Sentiasa pelihara tatasusila, penjagaan aurat, serta batas pergaulan yang sopan selari dengan tuntutan agama.

Keutamaan Solat

Jangan biarkan kesibukan melayan tetamu atau ziarah-menziarahi menyebabkan kita alpa akan kewajipan solat lima waktu. Ingatlah firman Allah SWT: “Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman.” (Surah an-Nisa’: 103).

Kesederhanaan

Elakkan pembaziran dan sikap berlebih-lebihan. Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu berlebih lebihan. Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A‘raf: 31).

Akhir kalam, marilah kita jadikan Eidul Fitri kali ini sebagai pemangkin untuk menjadi insan yang lebih baik, seterusnya membina masyarakat yang makmur, penyayang, dan bersatu padu dengan sentiasa meletakkan agama sebagai panduan hidup. Selamat Hari Raya Eidul Fitri. Maaf Zahir dan Batin. Edisi

Back to top button