HATI-HATI: TOKSIK HAJI

Ibadah haji ialah rukun Islam kelima yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang berkemampuan, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Ibadah ini memerlukan pelaburan wang yang banyak dan tahap kesihatan yang baik. Namun, ibadah ini tertakluk kepada sistem penggiliran disebabkan kuota haji yang ditetapkan oleh pemerintah Arab Saudi kepada setiap negara. Justeru, apabila panggilan haji telah diperolehi peluang keemasan ini hendaklah dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Artikel ini akan memfokuskan kepada bahayanya “Toksik Haji”. Secara umumnya, sifat toksik itu amat bahaya kerana boleh memudaratkan diri sendiri sama ada secara cepat atau perlahan. Justeru, kita dilarang sama sekali menyentuh dan mendekati bahan yang bertoksik tersebut. Manakala, dalam ibadah pula sifat toksik yang ada pada manusia lebih membahayakan kerana kita tidak mengetahui toksik tersebut telah menjalar dalam diri sehinggalah ada rakan atau orang lain yang menegur kita. Dalam konsep ibadah haji pula, toksik haji ini boleh menyebabkan iman rosak, pahala berkurangan dan sehingga boleh memadamkan terus pahala haji seseorang.
Untuk mengelak perkara tersebut, pastikan persiapan yang rapi telah dibuat sebelum berangkat untuk melaksanakan ibadah terbaik sepanjang berada di tanah suci Mekah dan Madinah. Justeru, perbaikilah niat untuk melaksanakan ibadah haji yang bertujuan bagi mendapatkan keredaan Allah semata-mata dan bukan disebabkan tujuan lain seperti mengikut orang lain apatah lagi melancong. Jangan jadikan ibadah haji kita sebagai ibadah yang bertoksik dan menyeleweng daripada tujuan asalnya. Tidak kurang juga ada jemaah yang ingin mengejar gelaran haji/hajah atau menjadikan modal iklan untuk berniaga dengan bergambar berlatarbelakangkan Kaabah, Masjidilharam, Masjid Nabawi dan sebagainya. Tambahan pula, mempamerkan ibadah di khalayak ramai boleh mendatangkan sifat ujub dan riak yang juga boleh menjerumuskan individu kepada dosa dan syirik kecil. Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
“Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehi atau kerana seorang wanita yang ingin dinikahi, maka hijrahnya adalah berdasarkan kepada apa yang diniatkan.”
– Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Berdasarkan hadis di atas, majoriti ulama telah bersepakat mengatakan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh Mukmin yang mukallaf tidak dikira dari sudut syara’ dan tidak diberi pahala dengan hanya melakukannya kecuali disertai dengan niat. Ibadah haji merupakan ibadah rukun yang wajib dilaksanakan bagi yang berkemampuan. Sekiranya ibadah tersebut bercampur dengan hal keduniaan dan bercampur dengan sifat riak atau menunjuk kerana merasakan diri lebih baik daripada orang lain serta mempunyai kewangan yang lebih. Jika terlintas perasaan riak segeralah beristighfar kepada Allah kerana kita tidak dapat lari daripada bisikan syaitan.
Selain itu, toksik haji juga boleh melibatkan pakej yang berunsurkan penipuan. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menggesa umat Islam lebih berwaspada terhadap penipuan pakej haji.
Pengerusi MAIS, Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin dalam kenyataan medianya menegaskan MAIS menggesa mangsa tampil membuat laporan polis serta menyerahkan maklumat lengkap agar siasatan dan tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pihak terbabit.
Orang ramai juga dinasihatkan menyemak status agensi melalui laman rasmi Lembaga Tabung Haji (LTH), berwaspada dengan pakej terlalu murah atau percuma serta segera melaporkan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.Kesimpulannya, mengerjakan ibadah haji merupakan suatu peluang yang jarang diperoleh oleh sesiapa kerana ia memerlukan komitmen dan tekad yang besar untuk ke sana kerana perlu membelanjakan harta, masa dan tenaga bagi mencapai tujuan mengerjakan ibadah haji selain kuota panggilan haji yang telah diperolehi. Oleh yang demikian, mereka yang berpeluang mengerjakan ibadah haji hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan segala rukun dan amalan sunat semasa berada di sana. Sesungguhnya, sangat rugi peluang yang diberikan oleh Allah disia-siakan dengan perbuatan yang lagha dan merosakkan ibadah haji hanya disebabkan terikut dengan trend semata-mata. Walluhua’lam. Edisi