Jendela Syariah

HAKAM PERCERAIAN

Allah berfirman di dalam Surah An-Nisa’, ayat 35 yang bermaksud;
“Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakai baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuanNya.”

Oleh

Ustazah Mariam Binti Md Zin (maryam@jais.gov.my)
Penolong Pengarah Penyelidikan, JAIS

Berdasarkan ayat ini, Hakam berfungsi untuk mendamaikan perpecahan antara suami isteri. Dalam konteks hari ini, apabila berlaku perpecahan, suami atau isteri akan memohon perceraian di Mahkamah Syariah. Hakim akan mengeluarkan perintah kepada pasangan setelah membuat keputusan mengenai permohonan perceraian tersebut.

Hakim:

Seseorang yang dilantik oleh kerajaan dan memegang jawatan rasmi dalam bidang kehakiman sebagai pengadil atau hakim dalam Mahkamah.

Hakam:

Seseorang penimbang tara yang diberi kuasa oleh pihak-pihak atau oleh Mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian (shiqaq) antara suami dan isteri.

Majlis Tahkim:

Sesi timbang tara yang melibatkan pertemuan suami dan isteri bersama dengan Hakam untuk tujuan perdamaian atau perceraian dengan lafaz talaq atau khul’ (tebus talak).

Proses Hakam:

Ia bermula apabila suatu permohonan di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 difailkan oleh isteri dan suami enggan menceraikan isteri.

Hakim akan mengarahkan pasangan untuk hadir ke sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP). Sekiranya proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) gagal dan mahkamah mensabitkan shiqaq (perkelahian antara suami dan isteri yang berlarutan sehingga menjejaskan kerukunan rumah tangga) maka Hakim akan membuat keputusan sama ada Majlis Tahkim diperlukan atau pun tidak.

Hakim akan mengguna pakai Seksyen 48 Enakmen UndangUndang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sekiranya berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihakpihak kepada suatu perkahwinan. Mahkamah boleh melantik, mengikut Hukum Syarak, dua orang penimbang tara atau Hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-masing.

Pelaksanaan Majlis Tahkim bermula selepas pelantikan Hakam dibuat. Terdapat dua peringkat Majlis Tahkim iaitu:

1. Peringkat Hakam Kerabat (Keluarga) – Hakam suami melafazkan talaq setelah mendapat keizinan daripada suami.
2. Peringkat Hakam Mahkamah – Hakam suami melafazkan talaq setelah mendapat kebenaran Mahkamah.

Hukum talaq peringkat Hakam Kerabat adalah Raji’ manakala peringkat Hakam Panel Mahkamah dengan kuasa penuh adalah Bain Sughro dan bekas suami tidak boleh merujuk bekas isterinya semula melainkan dengan akad nikah yang baru.

Penyelesaian kes melalui Hakam dapat diselesaikan dengan segera lazimnya dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh pelantikan Hakam berbanding ta’liq dan fasakh.

Kadar ‘iwadh (tebus talak dengan pampasan sama ada wang atau harta) bagi perceraian secara khul’ melalui Hakam diputuskan oleh kedua-dua hakam suami dan isteri.

Oleh itu, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) telah menyediakan Kaedah Hakam yang berstruktur bagi menyelesaikan kes-kes perceraian dengan tempoh yang minimum kerana prosiding telah dipercepatkan dengan adanya Hakam yang diberi kuasa penuh oleh Hakim. Edisi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button