Jendela Syariah

GENG PLASTIK HITAM

Pernahkah anda mendengar nama “Geng Plastik Hitam”? Nama ini biasanya disebut-sebut ketika bulan Ramadhan. Ia merujuk kepada sekumpulan orang Islam yang tidak menjalani ibadah puasa dan makan secara sembunyi di kawasan tertutup atau kawasan sunyi. Seingat saya bermula era 80an sehingga alaf baharu, nama “Geng Plastik Hitam” sering dijadikan bahan jenaka oleh masyarakat kerana tipu helah menggunakan plastik sampah berwarna hitam yang berisi makanan untuk dimakan pada waktu siang di bulan Ramadhan.

Oleh

Puan Maryam binti Md Zin (maryam@jais.gov.my)
Penolong Pengarah Kanan, Unit Dasar dan Strategi JAIS

Adakah “Geng Plastik Hitam” masih ada pada tahun ini? Apakah perbuatan “Geng Plastik Hitam” boleh ditangkap oleh pegawai penguatkuasa agama? Ketahuilah anda bahawa sekiranya “Geng Plastik Hitam” itu atau mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan melakukan perbuatan:

menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa apa makanan atau minuman atau rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap dalam waktu itu;

Secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau apa-apa benda lain yang seumpamanya;

Orang itu adalah dikira melakukan kesalahan menurut Seksyen 19 Enakmen Jenayah Syariah Selangor. Jika ditangkap oleh pegawai penguatkuasa agama dan didakwa di Mahkamah Syariah kemudian hakim memutuskan orang tersebut melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Ini bermakna tidak mengira sama ada seseorang itu termasuk dalam “Geng Plastik Hitam” atau “Geng Plastik Putih” atau “Geng Order Delivery” atau apa jua nama asalkan didapati melakukan kedua-dua atau salah satu kesalahan yang dinyatakan di atas, maka dia boleh didakwa dan diberikan hukuman agar umat Islam sentiasa menghormati bulan Ramadhan yang mulia.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama melakukan amar makruf dan nahi mungkar dengan menyelamatkan umat Islam dengan teguran dan nasihat secara berhikmah dan berakhlak. Sekiranya teguran dan nasihat itu tidak memberi kesan, hubungi pegawai penguatkuasa agama Jabatan Agama Islam Selangor untuk melaksanakan tindakan sewajarnya.

Sesungguhnya bulan Ramadhan berhak untuk dihormati dan ingatlah bahawa berpuasa pada bulan ini adalah demi menjunjung perintah pencipta kita iaitu Allah SWT kepada umatnya serta demi menjaga kemuliaan agama Islam yang sentiasa memberikan hikmah dalam kehidupan di dunia ini. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button