Gen Q

GAJET TOKSIK

Marcapada kecanduan gajet di kalangan remaja menjadi isu yang mendapat perhatian pada era digital ini. Gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer menjadi sebahagian penting dalam aspek kehidupan, pendidikan, komunikasi, dan informasi.

Oleh

Dr. Haji Halim bin Mokhtar (halim@kuis.edu.my)
Pensyarah Fakulti Pengajian Peradaban Islam,
Universiti Islam Selangor (UIS)

Gajet membawa banyak manfaat, tetapi dalam masa yang sama boleh mendatangkan mudarat jika tidak dikawal. Beberapa kajian menunjukkan bahawa penggunaan gajet secara berlebihan boleh menjadi toksik kepada kehidupan khususnya remaja sehingga menyebabkan remaja kelihatan seperti berada dalam fasa “zombie” di mana lebih “mesra” dengan gajet tetapi kaku dan “select” dengan manusia. Beberapa kesan toksik yang akan di alami dalam kehidupan remaja yang terlalu asyik mahsyuk dengan gajet di antaranya:

1. TOKSIK MASA

Remaja gagal menguruskan masa. Menghabiskan terlalu banyak masa dengan gajet dan kurang berminat terhadap aktiviti fizikal atau interaksi sosial. Kadangkala kitaran waktu siang dan malam telah bertukar tabie sehingga menyebabkan urusan harian terganggu. Pembahagian masa untuk diri, keluarga dan komuniti tergugat kerana gajet sehingga kewajipan kepada Allah juga tergugat.

2. TOKSIK GAME

Remaja yang ketagihan permainan dalam talian sehingga tidak minat menjalani aktiviti harian. Ini juga memberikan kesan kepada ketenangan yang boleh menyebabkan gangguan emosi. Tiada lagi ruang bersemuka hanya dengan sebuah gajet segalanya berubah.

3. TOKSIK KOMUNIKASI

Remaja kurang berkomunikasi secara bersemuka menyebabkan perkembangan kemahiran sosial menjadi terhad. Sukar untuk berkomunikasi dengan orang luar, kurang minat untuk bermain dengan rakan sebaya, dan cenderung mengasingkan diri. Tanpa komunikasi remaja akan selalu bersendirian dalam dunia gajet yang mencabar.

4. TOKSIK MENTAL DAN FIZIKAL

Remaja berisiko mengalami kemurungan dan gangguan kesihatan. Remaja terlalu banyak berinteraksi dengan gajet dan resah gelisah jika gajet tiada di tangan sehingga mengalami gangguan emosi dan fizikal. Memberikan kesan psikologi kepada remaja seperti mudah marah, tidak minat belajar dan tidak minat berinteraksi begitu juga risiko diabetes, tekanan darah tinggi, penambahan berat badan dan kemurungan.

5. TOKSIK MEDIA SOSIAL (MEDSOS)

Remaja terlalu ghairah untuk berkongsi maklumat sehingga ke peringkat yang sangat privasi dan sulit. Perkongsian boleh menyebabkan beberapa anasir tidak sihat akan berlaku dan akan diperlakukan oleh penjenayah siber. Remaja juga terdedah dengan berita palsu dan penyebaran fitnah serta komen-komen yang tidak beradab.

Oleh yang demikian beberapa langkah dan penyelesaian bagi mencegah gajet daripada menjadi unsur toksik dalam kalangan remaja antaranya ialah:

1. Pengurusan Masa:

Hadkan masa penggunaan gajet bagi memastikan keseimbangan aktiviti harian. Sediakan aktiviti luaran yang melibatkan komuniti dan sediakan jadual harian yang bebas daripada gajet.

2. Pengukuhan Pendidikan:

Memilih bahan dan aplikasi yang sesuai. Didik remaja tentang kesan buruk penggunaan teknologi secara berlebihan supaya mereka lebih bertanggungjawab dalam penggunaannya. Sediakan aplikasi yang dapat membantu pembangunan ilmu dan diri remaja.

3. Pemerkasaan Komunikasi:

Tingkatkan komunikasi berkesan secara lisan dan bersemuka. Tetapkan tahap penggunaan gajet secara sederhana dan terkawal. Galakkan aktiviti luar berbentuk fizikal bagi meningkatkan kemahiran sosial.

4. Penilaian kesihatan:

Mengamalkan gaya hidup sihat. mental dan fizikal Mengamalkan peraturan 20-20-20: iaitu 20 minit penggunaan skrin, berehat, dan lihat sesuatu pada jarak 20 kaki selama 20 saat untuk melindungi mata daripada ketegangan digital dan memastikan tiada tekanan yang membawa kepada kemurungan.

5.Pertahankan Batasan:

Meletakkan setiap aktiviti dalam batasan syarak dan akhlak . Jangan terlalu terbuka. Tidak perlu mendedahkan dan berkongsi semua perkara dalam medsos, cukup sekadar ruang informasi dan perkongsian ilmu.

Kesimpulannya isu gajet toksik perlu dibendung. Gajet akan menjadi lebih baik jika berjaya digunakan dengan betul dan seimbang. Terkini, Universiti Islam Selangor (UIS) terus memacu transformasi digital dan pendidikan berteraskan nilai Islam dengan melaksanakan pelbagai inisiatif pendigitalan, selaras keperluan pasaran kerja masa kini.

Naib Canselor UIS, Datuk Profesor Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata, antara usaha utama termasuk pelaksanaan Pembelajaran Digital Dalam Talian, program Kelayakan Mikro serta penaiktarafan sistem pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi.

Semoga usaha UIS yang merupakan universiti MAIS ini akan melahirkan lebih ramai generasi cemerlang, seimbang dunia dan akhirat. Perkasakan kehidupan keluarga dengan budaya sihat dan harmoni. Ingatlah, jadilah hamba Allah, bukan hamba gajet. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button