NGOi

ELAK PENYALAHGUNAAN DANA NGO

Islam sangat menggalakkan umatnya bersedekah. Bagi seorang Islam, sumbangan sering kali dilakukan atas nama sedekah. Jika dilihat maksud sedekah dari segi syarak iaitu “pemberian sesuatu kepada yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah S.W.T”. Sedekah boleh diberikan kepada golongan fakir miskin, keluarga, jihad fi sabilillah, badan kebajikan dan sebagainya. Masyarakat Islam umumnya sering memberi sumbangan kepada persatuan atau pertubuhan yang berdaftar di mana setiap pertubuhan yang ditubuhkan mempunyai peranan dan fungsinya yang tersendiri.

Oleh

Mohd Hafz Bin Abdul Salam (hafzsalam@mais.gov.my)
Ketua Pusat Penyelidikan, MAIS

Sejak dua dekad lalu, ramai aktivis dan kumpulan mendaftarkan diri sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang rata-ratanya menunjukkan minat kepada tujuan kebajikan dan membantu rakyat yang memerlukan selain berkempen mengenai isuisu tertentu, malah terdapat juga usaha sama antara NGO dan kerajaan dijalinkan sejak sekian lama dalam membantu kerajaan membuat dan memantau dasar dan polisi yang dibentuk. Berdasarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan terdapat sejumlah 82,721 pertubuhan aktif yang berdaftar. Daripada jumlah ini, 35.3% NGO ditubuhkan di bawah kategori kebajikan. Kemungkinan kategori ini merupakan pilihan NGO yang ingin memohon sumbangan daripada orang ramai atas dasar kebajikan.

Pengurusan Kewangan NGO

Kebimbangan umum tentang ketidakpatuhan sesetengah badan amal dalam pengurusan kewangan yang tidak telus dalam menggunakan dana awam bagi tujuan kebajikan. Satu kajian kualitatif telah dijalankan oleh penyelidik di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke atas enam NGO di Malaysia. Kajian mendapati daripada keenam-enam persatuan tersebut, hanya satu NGO yang tidak mengambil sebarang komisen daripada sumbangan awam. Lima NGO lain mengambil kadar komisen menurut gaji amil, keputusan pihak atasan, panduan daripada mufti, institusi zakat dan NGO lain, serta berdasarkan kos projek dan pengurusan.

Tiada undang-undang yang melarang NGO untuk mengambil sebahagian daripada jumlah sumbangan awam. Berdasarkan carian juga tidak menemui sebarang undang-undang yang melarang persatuan untuk mengambil sebahagian daripada jumlah sumbangan yang diterima daripada orang ramai. Berdasarkan Kod Tadbir Urus Baik Pertubuhan (COGG), NGO tidak seharusnya mempunyai perbelanjaan pentadbiran melebihi 30% daripada belanjawan tahunan. Namun perkara ini bukanlah undang-undang, sebaliknya hanya kod tadbir urus baik.

Dalam mengelakkan penyelewengan, satu kajian khusus perlu dilaksanakan berkaitan kerangka perundangan bagi menyeragamkan laporan kewangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan dana awam di negara ini. Namun begitu, turut diingatkan juga supaya orang ramai menyelidik terlebih dahulu tentang ketelusan sesebuah NGO dalam memastikan sumbangan yang diberikan dapat diterima golongan sasaran. Jika diketahui bahawa sumbangan digunakan untuk tujuan yang salah, derma tidak seharusnya diberikan kepada NGO berkenaan.

Pengurusan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK)

Di Selangor melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), sentiasa menyantuni secara positif di mana NGO yang memfokuskan perkhidmatannya untuk Islam atau boleh juga dipanggil Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK). PIBK ini adalah dianggap sebagai suatu badan dakwah Islam yang dapat membantu MAIS dalam melaksanakan tanggungjawabnya dalam mengatur aktiviti dan program secara berkala bagi menjadikan masyarakat lebih memahami dan menghayati ajaran Islam yang sebenar. Namun, mereka yang menggerakkan PIBK ini terpaksa berjuang dan berusaha dengan sumber yang terhad memandangkan ramai yang melakukan kerja ini secara sukarela tanpa sebarang imbuhan. Justeru, sejak tahun 2006 MAIS telah mengambil inisiatif untuk membuka penyertaan kepada PIBK untuk bersama MAIS dalam membantu meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan sosial umat Islam. PIBK yang Bersama-sama MAIS ini akan menerima ganjaran dalam bentuk kewangan secara tahunan. Sehingga tahun terakhir 2023, sebanyak 115 PIBK telah menyertai MAIS dengan pecahan kategori seperti berikut:

Secara kesimpulannya, peranan NGO dan PIBK ini dilihat dapat membantu pihak MAIS dan kerajaan untuk mengislahkan masyarakat ke arah membina kehidupan yang lebih baik berteraskan ajaran Islam yang suci adalah sangat diharapkan. NGO dan PIBK yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan pengurusan kewangan yang baik dapat menghindarkan masalah penyalahgunaan dana awam yang sering berlaku akhir ini. Kerjasama yang baik antara pihak berkuasa dan NGO dapat memberikan keuntungan kepada kedua-dua pihak dalam memastikan tanggungjawab untuk menjaga, mempertahankan dan memartabatkan kesucian agama Islam secara bersepadu dapat dilaksanakan. Walluhua’lam. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button