Info Sihat

DADAH MEROSAKKAN

Penyalahgunaan dadah adalah masalah sosial yang sangat rumit yang sedang dihadapi oleh negara yang mula diperkatakan sejak tahun 70-an lagi. Dadah merupakan satu ancaman besar kepada masyarakat, individu, keluarga dan negara. Dadah secara umumnya merujuk kepada bahan yang menyebabkan perubahan fisiologi atau psikologi seseorang. Dalam konteks perubatan (farmakologi), dadah ialah bahan kimia yang menghasilkan kesan biologi dan digunakan untuk merawat, menyembuh, mencegah, atau mendiagnosis penyakit. Dadah juga boleh merujuk kepada dadah psikoaktif, iaitu bahan kimia yang mempengaruhi sistem saraf pusat, mengubah persepsi, mood, atau kesedaran seseorang.

Oleh

Encik Mohd Hafiz bin Abdul Salam (hafizsalam@mais.gov.my)
Ketua Pusat Penyelidikan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Secara umumnya, keterlibatan masyarakat dengan dadah tidak terbatas kepada satu lapisan peringkat usia sahaja bahkan termasuk golongan miskin, kaya, profesional, buruh kasar, artis, kakitangan awam, pelajar atau anggota keselamatan. Kes penagihan dadah ini sentiasa meningkat saban tahun. Mengikut statistik daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2024 (sehingga September 2024) seramai 169,691 orang telah ditangkap atas kesalahan dadah dengan 88,773 adalah kes baharu dan selebihnya adalah kes berulang. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak, tenyata masih lagi menemui jalan buntu dan seolah tiada jalan penyelesaian. Keseriusan gejala penagihan ini telah memberi kesan sosial yang tinggi seperti peningkatan jenayah, pengedaran dadah dalam kalangan bawah umur dan isu kesihatan mental.

Penyalahgunaan dadah juga merujuk kepada penyalahan bahan iaitu aktiviti salahguna atau penggunaan sesuatu bahan terlarang seperti dadah atau bahan narkotik, alkohol dan pelbagai jenis bahan dalam jumlah atau dengan kaedah-kaedah yang boleh membahayakan diri individu atau orang lain. Dalam konteks ketagihan dadah, World Health Organization (WHO) tidak lagi menggunakan istilah penyalahgunaan dadah sebaliknya mereka menggunakan istilah penyalahgunaan bahan yang lebih luas skop dan kemudaratannya kepada pengguna. Penyalahgunaan bahan amat sinonim dengan remaja khususnya dalam kalangan remaja yang berisiko. Apapun nama yang diberikan, isu penyalahgunaan dadah/bahan ini merupakan salah satu isu kesihatan awam yang wajar diberi perhatian secara signifikan yang boleh juga dikaitkan dengan pelbagai masalah tingkah laku dan kesihatan mental.

Diantara punca utama penyalahgunaan dadah ini adalah :

1. KURANG PENDIDIKAN AGAMA

Kebanyakkan masyarakat yang terlibat dengan dadah adalah disebabkan oleh kurangnya pendidikan agama. Hal ini berlaku kerana ibu bapa tidak dapat memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak mereka. Tambahan lagi, di zaman teknologi ini, remaja sangat mudah terdedah dengan gejala-gejala sosial yang boleh merosakkan akal fikiran mereka walaupun mereka berada di rumah.

2. PENGARUH RAKAN

Hasil kajian Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM). Prof Madya Dr. Lekra Ramal berkata sebanyak 14.6 % daripada remaja yang berumur antara 15 – 19 tahun sudah mula berjinak-jinak dengan penyalahgunaan dadah. Sekiranya rakan sebaya yang dikenali oleh mereka terlibat dalam pengambilan dadah, secara tidak langsung mereka sendiri akan terikut dengan sikap rakan mereka. Budaya ini harus dikikis kerana ianya hanya akan menyebabkan gejala ini menjadi lebih serius dan remaja perlu bersikap rasional pada setiap masa.

3. TEKANAN PERASAAN

Remaja bukan hanya berhadapan dengan cabaran untuk belajar di sekolah semata-mata termasuk harapan yang tinggi oleh ibu bapa agar mereka mencapai prestasi yang cemerlang dalam Pelajaran. Hal ini telah menjadi satu tekanan yang hebat kepada remaja. Akibatnya, mereka tidak mempunyai masa yang tersendiri untuk beristirahat dan melakukan hobi yang digemari oleh mereka. Tekanan tersebut akan mendorong mereka mengambil dadah kerana kononnya ingin mencari ketenangan jiwa.

Selaras dengan fungsi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang berperanan bagi menangani isu masalah sosial umat Islam Selangor, MAIS telah menjalankan tanggungjawabnya melalui kerjasama yang erat diantara agensi kerajaan dan beberapa badan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK). Pada 18 Disember 2017, satu memorandum persefahaman antara MAIS dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah dimeterai bagi menubuhkan pusat pemulihan yang dinamakan Baitul Islah. Fungsi utama Baitul Islah ini adalah memberi pemulihan, rawatan, bimbingan agama dan perlindungan bagi penagih dadah yang dijangkiti HIV. Pusat ini mula beroperasi pada 2 Januari 2018 yang mampu menempatkan seramai 29 orang pesakit dalam satu satu masa. Kos operasi pusat ini menggunakan dana zakat asnaf Riqab dari Lembaga Zakat Selangor. Pengkhususan pesakit di Baitul Islah ini adalah untuk kumpulan lelaki yang terlibat dengan penagihan dadah dan dijangkiti HIV sahaja. Sebarang maklumat lebih lanjut boleh menghubungi Bahagian Pemulihan Ar-Riqab MAIS atau lawati portal MAIS (mais.gov.my).

Kesimpulannya, pelbagai pihak termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan dan rakyat secara keseluruhannya perlu mengambil cakna terhadap situasi semasa. Bantulah dan lakukanlah sesuatu bagi mencegah barah penagihan dadah ini terus menjadi lebih parah lagi. Dengan kesedaran, pendidikan, sokongan keluarga dan penglibatan komuniti yang berterusan, kita dapat membentuk masyarakat yang bebas dari ancaman dadah dan menyediakan persekitaran yang selamat dan sihat untuk generasi akan datang.

Walluhua’lam. Edisi

Related Articles

Back to top button