4/2022Isu

Bila Pengkid Tunai Umrah

Negara digemparkan dengan tindakan seorang wanita menyerupai lelaki (pengkid) dengan beraninya mengerjakan ibadah umrah dengan berpakaian ihram seperti seorang lelaki seolaholah berniat mencabar dan menimbulkan provokasi. Pendedahan yang menggemparkan umat Islam negara ini seperti mengulangi kes Sajat yang memakai telekung ketika berziarah di Madinah dan umrah di Mekah awal 2020 lalu.

Oleh

Halim bin Mokhtar (halim@kuis.edu.my)
Jabatan Dakwah dan Usuluddin Fakulti Pengajian Peradaban Islam,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Perkara ini telah memberikan berbagai reaksi masyarakat Islam dengan lambakan kritikan, kecaman dan komen  yang negatif namun begitu ada juga yang menitipkan doa agar diberikan petunjuk dan menginsafi perbuatan tersebut. Apakah tindakan yang sewajarnya terhadap pengkid ini? Berasaskan pandangan yang diberikan oleh Pihak Kerajaan, Jabatan Agama Islam, dan ahli akademik serta masyarakat awam beberapa solusi disenaraikan dalam menyantuni isu ini antaranya:

KAWALAN DAN PENGUATKUASAAN.

Mekanisme ini perlu diperkasakan bagi memastikan insiden seperti ini tidak akan berlaku dan berulang lagi pada masa akan datang. Apa yang jelas ialah hukum wanita menyerupai lelaki atau sebaliknya adalah berdosa dan dilaknat Allah SWT serta tidak mendapat rahmat daripada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan.” (Riwayat al-Bukhari) Tindakan menunaikan ibadah umrah dengan menyerupai lelaki adalah satu penghinaan dan mencabar kesucian agama Islam maka sepatutnya didakwa mengikut perundangan yang ada dan wajar didakwa atas kesalahan menghina agama Islam. Lebih mendukacitakan bila ia dilakukan di hadapan Kaabah. Kawalan dan pemantauan yang lebih ketat melalui syarikat pengurusan umrah boleh diperkemaskan begitu juga melalui visa pelancong individu.

2 TANGGUNGJAWAB KELUARGA DAN KOMUNITI.

Banyak kajian membincangkan faktor-faktor penyebab dan pendorong terjadinya kecelaruan gender. “Istilah kecelaruan jantina “Gender Identity Disorder (GID)” atau Gender Dysphoria (GD)yang ditakrifkan sebagai kecelaruan gender atau ketidakwarasan gender menunjukkan kumpulan ini mempunyai konflik dalaman diri yang perlu ditangani secara komprehensif tidak sekadar membabitkan tindakan perundangan tetapi sebaliknya secara pendidikan, bimbingan berterusan, bantuan dan rawatan.

Faktor persekitaran dan pembudayaan dari keluarga, komuniti dan media masa menyebabkan golongan ini tidak kuat untuk menentang arus yang melanda. Oleh itu, institusi kekeluargaan merupakan agen primer dalam proses memasyarakatkan perlu diperkukuhkan kerana ibu bapa sepatutnya berusaha memainkan peranan mereka dengan baik untuk memastikan anak-anak mendapat kasih sayang, pendidikan dan perhatian yang secukupnya supaya tidak mudah terpengaruh dengan budaya yang tidak bermoral. 

Ibu bapa boleh menekankan peranan gender sejak dari kecil lagi dan memandu anak-anak mengikut fitrah kejadian manusia yang diredhai Allah. Disamping itu, rakan sebaya dikenalpasti mempunyai pengaruh yang kuat terhadap proses pembentukan akhlak. Begitu juga peranan komuniti sangat penting dalam membentuk dan mempengaruhi perkembangan Jasmani, emosi, rohani dan intelek, Penglibatan komuniti masjid dan surau sangat diharapkan di dalam mendampingi individu seumpama ini supaya sistem sokongan yang lebih besar akan membentuk jaringan keselamatan akhlak lebih kukuh dan berterusan. 

KESEPADUAN DAKWAH DAN BIMBINGAN.

Aspek dakwah dan bimbingan juga perlu diperkasakan kepada setiap individu yang mempunyai kecelaruan jantina. Antara faktor yang mendorong gejala ini ialah kurangnya penghayatan agama dan keimanan yang menjadi benteng yang kukuh dalam mengawal hawa nafsu serta dapat mendidik manusia untuk membezakan perkara baik dan buruk. Peranan Bahagian Pemulihan Ar-Riqab MAIS dan para Pendakwah adalah sangat penting untuk memberikan sokongan dan dokongan bagi tujuan pendidikan dan bimbingan untuk menggerakkan ejen dakwah sama ada kumpulan daie, sukarelawan dan rangkaian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bagi menyantuni isu kecelaruan gender ini secara kolektif. Dr. Abdullah Nasih ‘Ulwan berkata “Pemuda-pemudi kita telah dilanda gelombang penyerupaan dan ikutan membabi buta. Justeru, semestinya tanggungjawab terhadap pendidik merawat penyakit ini dengan cara yang baik.”

Kesimpulannya setiap individu muslim mesti berasa sensitif terhadap isu ini kerana tindakan kecelaruan gender ini secara terang-terangan mempersendakan ibadah umrah dan mencabarkesucian ajaran Islam serta mencemar imej baik negara. Bersama kita berdoa semoga Allah SWT mengurniakan petunjuk dan hidayah kepada mereka yang terlibat dengan sindrom kecelaruan gender ini untuk segera kembali ke pangkal jalan dan menjadikan Islam sebagai cara hidup yang sempurna dan syumul. #Islamadalahcarahidup. Edisi

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button