Fokus

BAHANA AI, DUNIA MEMBARAH?

Artificial Intelligence (AI) atau dalam Bahasa Melayu bermakna ‘Kecerdasan Buatan’. AI adalah ciptaan manusia, iaitu memanfaatkan teknologi untuk meniru kemampuan manusia dari aspek kognitif (kemampuan berfikir). Jika kiga buka mana-mana ‘platform’ AI hari ini, misalnya Chatgpt, maka tanyalah apa sahaja soalan dan ia akan dapat memberikan jawapannya.

Oleh

Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid (hamizul@zakatselangor.com.my)
Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Walaupun AI itu buatan manusia, hari ini ia semakin canggih malah kian mengalahkan manusia. Sifat mesin atau teknologi ialah kesempurnaan. Maka, sebuah karangan pelajar yang dihasilkan dengan AI amat sempurna, naratifnya lancar dan kesalahan tata bahasa tidak berlaku. Hebat; namun kesan buruknya apa? Apakah anak-anak kita akan menjadi malas untuk belajar kerana AI ada untuk membantunya?

Lalu, dalam kesempatan ini mari sama-sama kita teropong satu persatu apakah dampak negatif AI:

01 Dampak sosial dan ekonomi

Pengangguran dan tekanan hidup. Ya, AI mengakibatkan banyak pekerjaan yang dulunya dilakukan secara manual, kini diambil oleh AI dan bersifat ‘automate’. Pekerjaan seperti jurujual, telefonis malah petugas saringan kesihatan boleh digantikan oleh AI. Tanyalah apa sahaja, jawapannya cepat, tidak marah marah malah tepat.

02 Dampak etika dan keabsahan

Deepfake dan penipuan boleh berlaku, iaitu penghasilan konten palsu (video atau audio deepfake) untuk menipu atau memfitnah. Scammer menjadi semakin jaguh dengan AI; dan mangsa akan terus terkapar ditipu. Jangan lupa, AI juga memerlukan ‘big data’ dan di sinilah potensi ‘pencurian’ data akan berlaku, termasuklah informasi peribadi yang akan disalahgunakan.

03 Dampak psikologi

Kebergantungan yang melampau kepada AI menurunkan kemampuan minda. Pemikiran kritis, kreatif dan lebih penting keupayaan menyelesaikan masalah, akan terjejas. Senario ini jika merebak ke sektor pendidikan, akan melahirkan produk yang lemah berfikir. Jangan lupa, interaksi intesif dengan AI juga menyebabkan ‘fantasi’ tersendiri kepada penggunanya. AI mampu menjadi sebaik-baik ‘teman’ dan itu semua adalah ‘halusinasi’ semata-mata. Agak-agak, berbahaya atau tidak senario ini?

04 Dampak pendidikan

AI juga dapat menghakis kemampuan belajar anak-anak kita, termasuklah juga para pensyarah dan penyelidik di universiti. Akibat kebergantungan kepada AI, menyiapkan sebuah disertasi cukup dengan mengarahkan AI. Lebih dahsyat andai pensyarah pun mencipta bahan pengajaran dengan AI. Selain itu, dahulu plagiarisme amat dimusuhi, kini AI menjadikannya lebih sukar ditangani. Tidak rosakkah dunia pendidikan?

Lalu, bagaimanakah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan seluruh jajaran ejensi Islam di Selangor beradaptasi dengan ‘wabak’ AI yang semakin berkuasa dan berleluasa ini? Apakah perlu dilawan atau diterima dengan lapang dada? Insya-Allah kami di EDISI akan cuba menghuraikannya. Edisi

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button