Ada Apa Dengan Influencer?
Sekonyong-konyong kita dikejutkan dengan kejayaan seorang infuencer yang berjaya mencipta rekod jualan RM1 juta dalam masa 3 minit 39 saat dan berjaya mencapai tontonan live seramai 3.3 juta orang. Sesuatu yang sangat luar biasa. Itulah kejayaan seorang influencer atau dalam Bahasa Melayu dikenali sebagai “pempengaruh” atau di media sosial dikenali dengan jolokan ‘bintang media sosial’ setiap ‘posting’ yang di update atau dicicip, pasti mendapat ribuan viewers dari followers.
Hakikatnya masyarakat pada hari ini banyak bergantung dengan media sosial dan sudah pasti influencer merupakan ikon yang penting dan menjadi perhatian masyarakat dengan niche atau identiti yang dikenali antaranya dalam bidang marketing, traveling, pendidikan, dakwah, perniagaan, kesihatan, hiburan, makanan, fesyen, dan berbagai gaya hidup terkini. Tak kurang juga yang memberikan ruang peribadi kehidupan untuk dikongsikan bersama followers yang sentiasa mengikuti rapat apa sahaja konten yang dihidangkan.
Tiada halangan untuk tampil sebagai seorang influencer, namun apa yang paling penting adalah mestilah memiliki prinsip, bertanggungjawab serta mempunyai value dalam mencipta konten dengan bersandar kepada ilmu, adab, akal, budaya dan agama bagi menonjolkan diri dan mencerdikkan ummah menerusi hidangan konten yang berkualiti bukan menghasilkan konten yang memalukan diri dan bersifat kontroversi.
Nilai tanggungjawab untuk membudayakan teras ilmu dalam mencipta content yang mempunyai keabsahan intelektual adalah penting bagi mengelakkan masyarakat terkeliru dengan sebarang fakta yang dibawa dan bukannya bersifat ‘palatao’ yang tidak berteraskan fakta malah perkara yang boleh menyalahi normalisasi budaya timur serta bercanggah dengan adab Islam.
Teras intelektual ini sangat penting dalam mendepani kepelbagaian cabaran dan semestinya infuencer adalah platform yang terbaik untuk menyinari informasi berfakta dan terkini, menyahkan segala maklumat palsu dan fitnah. Oleh itu Infuence mesti menguasai dan mengutamakan ilmu kerana perubahan boleh dicapai dan dirancang melalui bidang pendidikan, inovasi dan teknologi yang sangat diperlukan bagi membentuk generasi muda negara yang berkualiti.
Islam sangat menggalakkan usaha dakwah dengan mengajak manusia melakukan kebaikan dengan menyiarkan saranan, nasihat atau perbuatan baik sehingga menyebabkan ianya terkesan untuk melaksanakan kebaikan tersebut. Maka di sinilah peranan infuencer untuk sentiasa mengajak melakukan kebaikan dengan perkongsian yang bermanfaat dan mematuhi ajaran Islam. Jangan mempamerkan dan menganjurkan perkara keburukan atau mengungkapkan sesuatu yang negatif yang bertentang dengan Islam kerana setiap perbuatan akan dipertanggungjawabkan. Asasnya setiap kebaikan akan mendapat pahala dan setiap keburukan akan mendapat dosa.
Infuencer mesti menuntut Ilmu secara formal atau tidak formal. Ilmu itu memimpin. Ilmu adalah pemimpin yang hakiki penimbang antara benar dengan batil, baik dengan buruk dan antara tulen dengan semu. Membimbing manusia dengan ilmu membentuk pradigma masyarakat untuk membezakan perkara yang baik dan perkara yang dilarang. Kepada anak muda jika memilih menjadi pendidikan jangan diabaikan.
Kesimpulannya influencer merupakan anugerah yang terhebat daripada Allah. Kekuatan dan bakat yang dimiliki mampu mempengaruhi dan mengajak manusia. Oleh itu alangkah indahnya sekiranya dapat membantu mempromosi program-program khidmat ummah contohnya mengajak solat berjemaah di Masjid, memperkasa tanggungjawab mengeluarkan zakat bersama Lembaga Zakat Selangor, menyertai skim wakaf bersama Perbadanan Wakaf Selangor dan melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Islam Selangor (UIS) serta apa sahaja program yang bermanfaat untuk membantu ummah. Semoga usaha yang nirmala ini akan mewarnai pembangunan ummah yang cemerlang di Negeri Selangor Darul Ehsan.
Teruskan like, follow dan share untuk content yang menuju perkara kebaikan dan bermanfaat. Jangan ketinggalan. Luaskan minda dan teruslah melangkah ke hadapan dengan ilmu untuk memelihara maqasid Syariah dan menyeru manusia ke jalan hidayah membawa ke syurga. Jadikan ilmu asas kejayaan, redha Allah jadi idaman dan kemurkaan Allah jadi sempadan. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud “Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan maka dia mendapat pahala sama seperti yang melakukannya. (Riwayat Muslim) #infuencerberilmu #jomberdakwah Edisi.