Info Sihat

SIHATKAH ANDA?

Kesihatan yang diberikan oleh Allah SWT adalah nikmat yang wajib kita syukuri. Ibn
Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.” (Riwayat al-Bukhari).

Oleh

Mohammad Salleh Bin Abdul Saha (salleh@mais.gov.my)
Ketua Bahagian Dakwah dan Pemasaran, MAIS

Kesihatan yang baik bermula dari dalam diri sendiri. Menjaga kesihatan adalah tanggungjawab manusia atas amanah Allah ke atas diri mereka. Tubuh badan dan anggota serta kesihatan yang diberikan oleh Allah adalah wajib dijaga, dipelihara dan dilarang dari sakiti ke atasnya. Bagaimanakah manusia mengamalkan kehidupan yang sihat supaya tidak terjebak gejala sosial? Ada beberapa perkara yang perlu kita ketahui dalam mengamalkan kehidupan yang sihat iaitu dari segi fzikal, mental dan kerohanian.

Dari segi fzikal iaitu mengamalkan senaman dan riadah secara konsisten. Dengan melakukan aktiviti senaman, jantung akan menjadi sihat dan kuat. Sisa toksik dalam badan pula akan keluar melalui peluh kita semasa bersenam. Senaman yang kita lakukan akan membolehkan darah mengalir dengan baik dan menguatkan lagi otot-otot badan.

Amalan pemakanan seharian juga mestilah dijaga supaya makanan yang dimakan itu adalah seimbang. Pemakanan seimbang membolehkan tubuh badan kita menjadi sihat dan tidak obesiti. Pemakanan yang tidak seimbang akan menyebabkan badan kita mendapat pelbagai penyakit seperti darah tinggi, penyakit jantung dan kencing manis.

Bagi penjagaan mental, utamakan rehat secukupnya, tanpa rehat yang cukup badan tidak dapat berfungsi dengan sempurna termasuk otak dan kesihatan mental. Ambil langkah dengan memastikan anda mendapatkan tidur yang cukup seperti mengurangkan pengambilan kafein serta tidur dan bangun pada waktu yang ditetapkan setiap hari. Jika tidur tidak berkualiti maka untuk melakukan sesuatu pekerjaan akan hilang fokus. Jauhi perkara yang boleh merosakkan mental dengan pengambilan dadah, menonton pornograf dan melakukan aktiviti yang tidak sihat. Firman Allah S.W.T:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu
adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang
membawa kerosakan).” [al-Isra’: 32]

Sebagaimana larangan Allah agar menjauhi zina kerana kesan zina tersebut memudaratkan seperti berlakunya penyakit HIV/AIDS dan merosakkan nasab keturunan dengan percampuran sosial sehingga berlaku hubungan terlarang. Jauhilah perkara tersebut dengan sentiasa memperbanyakkan aktiviti iaitu dengan menghayati alam semula jadi seperti mendaki bukit, menikmati suasana pantai dan melihat keindahan alam.

Selain itu, pergaulan bersama rakan-rakan yang sentiasa berfikiran positif sangat membantu dalam memastikan mental kita dalam keadaan yang sihat. Lingkaran rakan-rakan yang memberi sinergi yang positif akan menjadikan mental lebih sihat dan berkualiti.

Di samping itu, pemantapan rohani sangat penting bagi memastikan kehidupan diri yang sihat. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Ingatlah dan bahawasanya dalam jasad manusia itu ada seketul daging yang apabila baik daging itu, maka baiklah jasad keseluruhannya, dan jika rosak daging itu, akan rosaklah jasad keseluruhannya, ingatlah, itulah dia hati” (HR al-Bukhari dan Muslim). Berdasarkan hadis di atas, kita dapat mengetahui betapa pentingnya peranan rohani. Jika rohani seseorang itu lemah, maka lemahlah jasmaninya kerana kedua-dua elemen ini saling berkait. Kecantikan rohani akan menggambarkan keindahan jasmani. Bagaimanakah ingin memastikan rohani ini sentiasa sihat iaitu istiqamah solat berjemaah, rajin membaca Al-Quran dan perbanyakan zikir.

Solat adalah tiang agama, jika tidak solat maka robohlah tiangnya maka rosaklah rohani dalamnya itu. Untuk memastikan tiang agama itu kukuh, paksakan diri kita untuk solat dan menghadiri solat berjemaah. Dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Sembahyang berjemaah adalah lebih utama (baik) daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat”. (HR alBukhari dan Muslim). Setiap Muslim wajib menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam. Jadi alangkah lebih baik jika setiap muslim itu solat berjemaah.

Di samping muslim tersebut diberikan pahala yang berlipat kali ganda dari solat bersendirian, ia juga dapat menguatkan rohani. Kemudian, rajinkan diri kita membaca Al-Quran sekurangnya satu muka surat sehari supaya jiwa rohani ini sentiasa dipandu hidayah Allah. Dan akhir sekali, perbanyakan berzikir dan selawat kerana ada ketenangan dalam diri dalam memperolehi kesihatan rohani.

Allah SWT berfrman yang bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah arRa’d, ayat 28). Akhirnya kesihatan ini adalah anugerah Allah, maka kita kembali dan mengadulah kepada Nya. Kehidupan umat Islam meletakkan kebergantungan dan meletakkan harapan hanya pada Allah S.W.T, tidak selainnya. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button