YAA PUAN NENNEY SHUHAIDAH BINTI SHAMSUDDIN KETUA HAKIM SYARIE WANITA PERTAMA DI SELANGOR DAN MALAYSIA

Tahniah atas pelantikan YAA sebagai Ketua Hakim Syarie Wanita pertama di Selangor dan pertama di Malaysia. Bagaimanakah perasaan YAA apabila dipilih untuk memikul tanggungjawab yang sangat bersejarah ini dalam sistem perundangan negeri?
Terima kasih. Apabila saya mengetahui nama saya ingin dilantik, pada mulanya saya menolak kerana saya merasakan tanggung jawab ini terlalu besar dan tidak pernah terlintas dalam fikiran saya seorang wanita akan diangkat sebagai ketua hakim syarie. Saya berdoa kepada Allah SWT agar sentiasa membantu saya untuk memegang jawatan ini dengan baik dan cemerlang tanpa sebarang tohmah. Saya akan memegang amanah ini dan menjalankan tanggung jawab sebaik mungkin.
Pelantikan ini telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Apakah amanat atau pesanan penting yang baginda sampaikan semasa penyerahan watikah pelantikan tersebut yang menjadi pegangan YAA?
DYMM Sultan Selangor telah berpesan agar saya menjalankan tanggung jawab sebaiknya. Saya berjanji kepada diri saya untuk mengekalkan kecemerlangan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan berusaha untuk meningkatkan kecemerlangan itu. Saya akan cuba sebaik mungkin; saya tidak akan mendatangkan fitnah terhadap jawatan ini dan tidak akan mensia-siakan kepercayaan DYMM Tuanku Sultan dan YAD Dato’ Setia Pengerusi MAIS.
Apakah langkah pertama atau perubahan yang ingin YAA bawa sebagai Ketua Hakim Syarie Wanita?
Saya tidak memulakan langkah pertama tetapi meneruskan kesinambungan usaha Ketua Hakim Syarie sebelum ini. Ketika ini JAKESS sedang mencuba uji pelaksanaan mahkamah digital di tiga buah daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang. Tiada lagi penggunaan fail fizikal oleh hakim dan peguam, semuanya ke arah paperless. Sekiranya 3 buah daerah ini melaksanakannya dengan baik, ia akan diperluas kepada semua mahkamah syariah di seluruh Selangor pada tahun ini. Visi dan misi jabatan akan diteruskan. Daripada aspek pengurusan saya akan berusaha untuk menyelesaikan masalah kes tertunggak disebabkan kekurangan hakim. InsyaAllah, MAIS akan memberikan pertambahan perjawatan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan set perjawatan bagi setiap Hakim Mahkamah Tinggi Syariah tersebut. Dengan penambahan ini termasuk pelaksanaan digitalisasi; saya menjangkakan dalam masa 3 tahun semua kes tertunggak di Mahkamah Tinggi Syariah dapat diselesaikan.
Sebagai wanita pertama yang memegang jawatan ini, bagaimanakah YAA melihat peranan ini dalam mengangkat martabat wanita dalam bidang kehakiman dan perundangan Syariah di Malaysia?
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) semakin terbuka dalam pelantikan wanita sebagai hakim syarie bermula pada tahun 2010. Dari aspek keilmuan dan pengurusan, wanita dan lelaki adalah sama boleh menjalankan tanggung jawab dengan baik. Sama seperti bidang lain, dengan ilmu dan belajar; insyaAllah pasti boleh. Saya nasihatkan kepada wanita dalam bidang perundangan dan kehakiman, sekiranya diberi peluang untuk meningkatkan diri dalam kerjaya, terima sebagai cabaran dan sentiasa belajar serta menambah ilmu. Cabar diri sendiri, jangan mudah mengalah, sentiasa mencuba, sekiranya ada kelemahan terus perbaiki, jangan mudah mengalah, jadikan pengajaran dan belajar daripada kesilapan. Belajar daripada kesilapan adalah ilmu terbaik yang kita akan dapat.
Masyarakat sering melihat Mahkamah Syariah sebagai institusi yang kritikal dalam hal ehwal kekeluargaan dan perundangan Islam. Bagaimanakah YAA merancang untuk meningkatkan akses dan pemahaman masyarakat terhadap proses keadilan di mahkamah?
Setiap tahun JAKESS sentiasa melaksanakan program pemahaman undang-undang kepada masyarakat seperti program literasi pemahaman undang-undang, sulh, ceramah online dan fizikal. Alhamdulillah Lembaga Zakat Selangor memberikan dana bagi menjalankan program penerapan pemahaman undang-undang kepada umat Islam. Selain itu, JAKESS juga menggunakan Artificial Intelligence dalam penggunaan chatbot bagi menjawab semua persoalan dari orang awam mengenai undang-undang dan prosedur mahkamah syariah. Terkini, chatbot tersebut akan dijawab secara live oleh pegawai JAKESS bagi mengurangkan isu panggilan telefon tidak diangkat.
Apakah pesanan YAA kepada generasi muda, khususnya wanita, yang bercita-cita untuk menceburi bidang perundangan Syariah setelah melihat pencapaian bersejarah YAA hari ini terutamanya dalam mendepani cabaran di institusi yang kritikal seperti Mahkamah Syariah?
Adik-adik yang ingin menceburi bidang perundangan, bidang ini bukan mudah. Kerjaya sebagai seorang hakim laluannya adalah lantikan dalam perkhidmatan kerajaan. Sekiranya terpilih menyertai perkhidmatan awam dan diberi peluang dilantik sebagai hakim, usah gentar; pastikan ilmu mencukupi, sekiranya tiada ilmu, sentiasa belajar untuk membawa tanggung jawab dengan baik. Sama ada menceburi kerjaya sebagai hakim atau peguam, mesti dengan ilmu. Apabila kita membantu orang dengan ilmu yang betul, insya-Allah pahala akan sentiasa diberikan oleh Allah. tanpa ilmu menyebabkan kita bantu dan memberi hukuman kepada orang lain dengan cara yang salah; kaki akan selangkah ke neraka. Apa jua kerja dan bidang yang kita ceburi, Allah sentiasa ada dan menilai. Perbuatan baik kita lakukan, syurga menanti. Perbuatan buruk kita lakukan, sengaja buat kesilapan; selangkah ke neraka. Pengalaman kerjaya saya selama 25 tahun dalam bidang perundangan, cabarannya terlalu banyak. Saya ingin berpesan kepada generasi muda, apa pun cabaran yang mendatang; terima, kuat, adapt, dan belajar. Semua kesukaran itu akan membantu kita menjadi seorang ketua yang baik.
Terima kasih di atas segala perkongsian YAA. Semoga agar Allah SWT sentiasa merahmati dan memudahkan semua urusan YAA. Amin. Sama-sama. Edisi



