KENALI LZS

Lembaga Zakat Selangor (LZS) ditubuhkan pada 14 Februari 1994. Ia antara institusi
zakat terawal dikorporatkan di Malaysia. LZS pada awalnya dinamakan sebagai Pusat Zakat Selangor dan merupakan anak syarikat kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Sebab itulah ejaan nama LZS digandingkan dengan MAIS di hujungnya. Pengkorporatan ini telah meningkatkan keberkesanan pengurusan zakat di negeri Selangor sehingga kini.
Motto LZS adalah ‘Meneraju Perubahan’. Selama lebih 30 tahun, banyak sekali pencapaian telah diperolehi LZS melibatkan aspek fatwa zakat, sistem dan pemodenan tadbir urus. Hasilnya, selama lebih 15 tahun, Selangor kekal sebagai negeri tertinggi kutipan dan agihan zakat di Malaysia. Tahun 2024 misalnya, jumlah kutipan adalah sebanyak RM1.22 bulion dan agihan adalah RM1.19 bilion.
LZS diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan dibantu oleh Ketua Pegawai Operasi, Ketua Pegawai Korporat, Ketua Pegawai Kewangan dan juga barisan Pengurus Besar yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam pelbagai bidang.
LZS mempunyai empat buah divisyen teras, iaitu Divisyen Kutipan, Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Divisyen Pembangunan Asnaf dan Divisyen Pengurusan Cawangan dan Hub serta turut di dokong oleh 11 buah divisyen sokongan iaitu Divisyen Perhubungan Stakeholder, Divisyen Kewangan, Divisyen Syariah dan Dakwah, Divisyen Sumber Manusia, Divisyen Teknologi Maklumat, Divisyen Strategi Korporat, Divisyen Komunikasi Korporat, Divisyen Kualiti dan Jaminan, Divisyen Pentadbiran dan Pengurusan Hartanah, Divisyen Perolehan, Divisyen Audit Dalam serta disokong oleh Jabatan Pengurusan Risiko, Integriti dan Keselamatan Siber.
Sehingga kini, jentera LZS terdiri daripada kira-kira 700 orang warga kerja, dengan kekuatan 18 buah cawangan di seluruh daerah dan beribu pejabat di Menara Zakat Sultan Idris Shah, Seksyen 14, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
LZS menjalankan kutipan dengan pelbagai pendekatan dan segmen Skim Potongan Gaji (SPG) adalah yang paling popular. Zakat pendapatan pula menjadi penyumbang terbesar kutipan, diikuti oleh zakat perniagaan dan zakat simpanan. Zakat lain terdiri daripada zakat emas, perak, pertanian, pelaburan dan saham, galian dan termasuklah zakat fitrah.
Agihan zakat pula dijalankan dengan pelbagai pendekatan, dengan segmen terbesar penerima adalah asnaf fakir dan miskin yang menerima lebih 60 peratus agihan. Asnaf lain yang disantuni LZS ialah muallaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil.
Kesemua asnaf di LZS disantuni menerusi lima program teras, iaitu Program Pembangunan Sosial; Program Pembangunan Ekonomi, Program Pembangunan Pendidikan, Program Pembangunan Insan dan Program Pembangunan Institusi Agama. Bagi pembangunan asnaf riqab, ia diselia oleh Bahagian Pembangunan Sosial MAIS.
Terdapat pelbagai produk agihan zakat di Selangor, misalnya asrama pendidikan anak-anak asnaf Baitul Hasanah, rumah perlindungan mualaf Baitus Salam, pusat pendidikan mualaf Baitul Hikmah, rumah jagaan warga emas Bait al-Mawaddah, pusat pemulihan akhlak wanita Baitul Ehsan, pusat pemulihan dadah dan akhlak Baitul Islah, pusat pemulihan akidah Baitul Iman, Pusat Latihan Asnaf Selangor dan projek pertanian Agro Ekonomi Asnaf.
LZS juga telah melahirkan ramai usahawan asnaf, graduan anak-anak asnaf dalam multi disiplin, skim bantuan perumahan, pembiayaan perubatan dan sebagainya lagi kepada ratusan ribu asnaf. LZS juga mendanai banyak NGO Islam dalam gerak kerja dakwah, juga mendanai geran penyelidikan di pelbagai universiti.
LZS kini menjadi institusi zakat yang disegani di dalam dan luar negara berkat sokongan semua pihak, yang ingin melihat institusi ummah di negeri Selangor ini terus bersinar demi kebaikan semua pihak. Tahniah kepada LZS dan terima kasih kepada semua umat Islam yang komited menyokong LZS. Ayuh kita teguh berjalan di bumi Allah SWT dengan tekad membangunkan zakat. Edisi