CIKGU TUN TIJAH, KONGSI PENGALAMAN URUS HIBAH BERSAMA MAIS

Cikgu Ton Tijah merupakan pelanggan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang telah menggunakan perkhidmatan hibah. Pihak MAIS telah menghubungi beliau untuk berkongsi pengalaman dalam penyediaan dan pelaksanaan hibah tersebut.
1. Bagaimanakah Cikgu mengetahui tentang perkhidmatan hibah dan wasiat yang ditawarkan oleh MAIS?
Saya mengetahui tentang perkhidmatan ini melalui Sahibus Samahah Timbalan Mufti ketika itu, YAD Dato’ Setia Dr. Haji Anhar bin Haji Opir (pada November 2018), yang kini merupakan Mufti Negeri Selangor. Beliau memperkenalkan saya kepada Pengarah Sektor Baitulmal, Ustaz Indera Shahril bin Mohd Shahid pada Januari 2019. Saya diberi penerangan berkaitan hibah, wasiat, pusaka dan lain-lain. Setelah memahami, saya mengisi borang permohonan hibah dan mengumpulkan data yang diperlukan daripada ibu dan semua waris. Setelah lengkap, saya menyerahkan permohonan hibah dengan bayaran fi sebanyak RM300.00 dan setem duti.
2. Sejauh manakah tahap kepuasan Cikgu terhadap perkhidmatan MAIS?
Pada 31 Mei 2021, ibu saya telah meninggal dunia. Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19, urusan seterusnya sedikit tertangguh dan hanya dapat diteruskan pada Januari 2022. Alhamdulillah, dalam tempoh setahun, urusan selesai sepenuhnya dengan bantuan pegawai Baitulmal MAIS yang sangat komited dan mudah untuk berbincang walaupun sibuk dengan tugasan. Urusan bermula daripada mendapatkan perintah sehingga selesai pindah milik di Pejabat Tanah Klang, dan saya menerima geran pada hujung tahun 2022.
3. Adakah fi yang dikenakan oleh MAIS berpatutan?
Ya, fi yang dikenakan sangat berpatutan dan membantu pelanggan menyelesaikan urusan harta. Kos yang dikenakan tidak membebankan, malah membantu masyarakat merancang harta melalui wasiat dan hibah.
4. Bagaimanakah penerimaan waris-waris terhadap perkhidmatan ini?
Alhamdulillah, setelah setiap prosedur dan proses diterangkan, semua waris menerima keputusan dengan baik dan harmoni.
5. Adakah Cikgu mengetahui tentang syarikat amanah lain yang menawarkan perkhidmatan serupa? Apakah pandangan Cikgu terhadap perkhidmatan dan fi yang dikenakan?
Ya, saya maklum tentang perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat amanah lain. Saya pernah mendengar dalam kuliah atau seminar yang dianjurkan oleh pihak swasta sebelum saya berurusan dengan MAIS. Seorang sahabat saya menggunakan perkhidmatan swasta dengan bayaran yang tinggi, termasuk yuran tahunan yang perlu dibayar selagi beliau masih hidup. Itu belum termasuk bayaran urusan bicara dan pindah milik selepas kematian. Alhamdulillah, saya sangat berpuas hati dan bersyukur apabila mengetahui MAIS turut menawarkan perkhidmatan ini.
6. Bagaimanakah pengalaman Cikgu menerima penerangan daripada pegawai MAIS? Adakah maklumat yang disampaikan jelas?
Alhamdulillah, saya menerima penerangan dan maklumat yang jelas dalam pengurusan harta Islam. Ia merupakan pengalaman yang bermakna untuk saya kongsikan kepada masyarakat. Saya juga menghadiri seminar dan kursus berkaitan pengurusan harta Islam secara fizikal dan dalam talian yang dianjurkan oleh MAIS. Untuk menambah kefahaman, kita perlu rajin merebut peluang menghadiri majlis ilmu.
7. Apakah saranan Cikgu kepada masyarakat berkaitan perancangan harta melalui wasiat, hibah dan pusaka?
- Antara saranan saya kepada masyarakat ialah:
Semua umat Islam perlu celik ilmu dan terus belajar tentang perancangan harta melalui wasiat, hibah dan pengurusan pusaka bagi mengelakkan perbalahan keluarga selepas kematian. - Dalam setiap keluarga, perlu ada individu yang proaktif menguruskan hal ini, dan semua waris perlu memberi kepercayaan serta kerjasama yang padu.
- Jika ada kemusykilan, rujuklah kepada pegawai Baitulmal MAIS atau pihak yang arif.
Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Baitulmal MAIS yang semakin agresif menyampaikan maklumat melalui pelbagai medium, termasuk media sosial dan media arus perdana. Saya berharap masyarakat tidak memandang ringan isu pengurusan harta umat Islam, agar harta beku yang semakin meningkat tidak terus terbiar dan tidak dimanfaatkan oleh waris. Ia sangat merugikan umat Islam sendiri.
Semoga perkongsian pengalaman Cikgu Ton ini dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk merancang harta dengan lebih baik. Sebarang pertanyaan berkaitan wasiat, hibah, pusaka dan faraid boleh diajukan melalui talian 03-5514 3773 atau layari laman web rasmi MAIS di www.mais.gov.my. Edisi