KESALAHAN JENAYAH BERKAITAN AJARAN SESAT
Isu-isu seperti fahaman dan pemikiran menyeleweng, murtad, tuntutan hak asasi yang bercanggah dengan hukum syarak daripada golongan-golongan tertentu dan ekstremis agama berpotensi membawa kepada tergugatnya keamanan setempat dan kesucian agama Islam. Umat Islam akan kehilangan arah dan tujuan hidup serta merosakkan hubungan dengan tuntutan beragama yang akan memberi kesan kepada perpecahan di antara umat.
Bagi mengekang bahaya ajaran salah, menyeleweng dan sesat ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah memasukkan beberapa peruntukan undang-undang dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
SEKSYEN 7 (1)
Doktrin Palsu
Mana-mana orang yang mengajar atau menjelaskan apa-apa doktrin atau melaksanakan apa-apa upacara atau perbuatan yang berhubungan dengan agama Islam di mana-mana tempat, sama ada tempat persendirian atau tempat awam, adalah melakukan suatu kesalahan jika doktrin atau upacara atau perbuatan itu bertentangan dengan Hukum Syarak atau mana-mana fatwa yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini.
SEKSYEN 8
Dakwaan Palsu
Mana-mana orang yang mengisytiharkan dirinya atau mana-mana orang lain sebagai Rasul atau Nabi, Imam Mahadi atau Wali; atau menyatakan atau mendakwa bahawa dia atau mana-mana orang lain mengetahui peristiwa atau perkara di luar pemahaman atau pengetahuan manusia, sedangkan perisytiharan, pernyataan atau dakwaan itu adalah palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam.
SEKSYEN 9
Mempersendakan Dll.. Ayat Al-Quran atau Hadith
Mana-mana orang yang, dengan kata-katanya atau perbuatannya, mempersendakan, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat-ayat al-Quran atau Hadith.
SEKSYEN 10
Menghina Ataupun Dipandang Hina Dll.. Agama Islam
Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina; mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam.
SEKSYEN 12
Menghina Pihak Berkuasa Agama
Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar, atau mempertikaikan perintah atau arahan Duli Yang Maha Mulia Sultan atas sifat Baginda sebagai Ketua agama Islam; Majlis Agama Islam Selangor; Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa.
SEKSYEN 16
Penerbitan Agama Yang Bertentangan Dengan Hukum Syarak
Mana-mana orang yang mencetak, menyiarkan, menerbitkan, merakamkan atau menyebarkan dengan apa-apa cara apa-apa buku atau dokumen atau apa-apa bentuk lain rakaman yang mengandungi apa-apa jua yang bertentangan dengan Hukum Syarak; atau ada dalam miliknya apa-apa buku, dokumen atau bentuk lain rakaman sedemikian untuk dijual atau bagi maksud untuk disebarkan dengan apa- apa cara lain.
Sekiranya anda mempunyai bukti kukuh terhadap mana-mana orang yang melakukan kesalahan di atas, hubungi Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di talian 1-800-88-2424 untuk membuat aduan.
Tujuan utama peruntukan undang-undang ini bukan untuk membatasi kebebasan beragama namun ia dilaksanakan untuk mencegah penyebaran ajaran sesat, melindungi umat Islam dari terpengaruh dan terjebak dengan ajaran-ajaran merosakkan akidah, menjaga keharmonian dan penyatuan ummah, menjadikan umat Islam patuh kepada undang-undang serta menjadi teladan dalam lingkungan masyarakat. Edisi