Gen Q

EKSPLOITASI REMAJA DAN AJARAN SESAT

Tanggal 11 September 2024, Negara dikejutkan
dengan berita insiden 402 kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan oleh PDRM daripada menjadi mangsa penganiayaan dan pengabaian di rumah amal di Negeri Selangor dan Negeri Sembilan.

Oleh

Dr. Haji Halim bin Mokhtar (halim@uis.edu.my)
Pensyarah Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Universiti Islam Selangor

Insiden ini membongkar eksploitasi kepada remaja dengan modus operandi “memperkuda” remaja mencapai matlamat dan kepentingan pertubuhan tertentu. Ia telah memperlihatkan bahawa ramai remaja yang terlibat dengan kumpulan ajaran sesat yang sangat membimbangkan. Persoalannya bagaimana remaja boleh terjebak dalam kelompok ini dan dieksploitasi sedemikian rupa. Antara faktor yang menyebabkan remaja terlibat dengan kumpulan ajaran yang sesat:

  1. Ketaksuban dengan doktrin sesebuah kumpulan iaitu bersedia melakukan apa sahaja, sebarang gangguan akan dianggap sebagai musuh Islam dan berhak untuk menerima tindak balas. Inilah kumpulan yang terpilih di akhir zaman.
  2. Berselindung di sebalik rumah amal. Di doktrin daripada usia muda dan di manipulasi oleh orang dewasa yang menguruskan rumah amal terbabit. Dipaksa meminta derma dengan berselindung di sebalik kegiatan amal dan agama.
  3. Media Sosial. Akses internet yang mudah dan terbuka menjadi penarik kepada remaja untuk terlibat dengan kumpulan ajaran sesat yang menyebarkan propaganda dan mesej ‘perjuangan’ mereka melalui media sosial.
  4. Kesilapan dalam memilih guru. Bersedia mendekatkan diri kepada tuhan. Atas dasar itu, sesiapa sahaja yang ditemui yang mampu membawa mereka “dekat” dengan tuhan pastinya ia akan mengikuti tanpa merujuk latar belakang guru tersebut.

Menginsafi perkara ini beberapa tindakan tegas dan tuntas mesti diambil segera bagi membendung eksploitasi remaja ini daripada terus berlangsung dan menguasai. Antara tindakan yang perlu diambil ialah:

1. Peranan Remaja.

Melengkapkan diri dengan ilmu agama melalui “Guru yang bertauliah” dan memastikan hak mereka dijaga. Sentiasa merujuk informasi yang benar bagi memastikan setiap amalan adalah menetapi syarak dan kegiatan mematuhi undang-undang.

2. Peranan Ibu bapa.

Membekalkan dengan ilmu agama khususnya akidah diterapkan melalui sesi pengajian agama daripada Guru atau Penceramah yang bertauliah bagi memastikan tidak mudah dipengaruhi dengan ajaran daripada kumpulan tertentu yang menyesatkan.

3. Peranan Komuniti.

Sentiasa cakna dengan penghayatan Islam di kalangan komuniti. Jika terdapat perkara yang mengelirukan dan mengancam akidah maka ia perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan segera. Penglibatan Institusi Pendidikan dengan kerjasama NGO sangat diutamakan.

4. Peranan Penguat kuasa.

Memastikan pendaftaran Rumah Amal/Rumah Kebajikan/Rumah anak yatim/Pusat Tahfiz diselia dengan teliti. Tindakan secara profesional berlandaskan undang-undang amat diperlukan bagi memastikan Rumah/Pusat atas nama kebajikan dan agama bukan merupakan pusat pembangunan kader-kader ajaran sesat dan memastikan hak-hak remaja sentiasa terpelihara.

5. Peranan Pusat Pemulihan.

Kesinambungan tindakan pencegahan dan pemulihan remaja yang terlibat dengan permasalahan akidah. Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman kelolaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyediakan program pemulihan akidah sama ada secara sukarela atau perintah mahkamah serta bersedia membantu remaja menghadapi cabaran hidup dan kembali ke pangkal jalan. Sebarang pertanyaan berkaitan Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, sila hubungi 03-6075 1558.

Kesimpulannya remaja merupakan modal insan penting kepada negara dan ummah yang mesti dibangunkan kepada tahap optimum dan dilindungi daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi oleh pihak tertentu. Jangan tersungkur di pintu syurga akibat kesesatan yang dicipta. Semoga Allah memelihara remaja kita daripada fitnah akhir zaman ini #remajarabbani. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button