A jaran sesat bukan perkara baharu. Ia sudah pun ada pada zaman Nabi Muhammad SAW masih hidup. Kala itu, tiga orang lelaki, mengaku menjadi nabi. Pada zaman Abu Bakar as-Siddiq pula, tujuh nabi palsu menjelma. Pada era Umar al-Khattab yang garang, masih ada seorang lelaki berani mengaku nabi. Kesemuanya dibanteras hebat. Diisytiharkan perang, jika enggan bertaubat dan meninggalkan ajaran terlarang.
Oleh
Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid (hamizul@zakatselangor.com.my)
Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)
Pelik sungguh ajaran sesat ini. Sudah songsang, namu tetap memikat. Jika tidak, masakan setiap muncul ajaran sesat, adalah pengikutnya. Di negara kita, ada yang berani mengaku dirinya Rasul Melayu. Ada yang berani membuat agama sendiri, Kerajaan Langit dan Millah Abraham misalnya. Malah ada yang terang-terang mengisytiharkan mereka bukan sebahagian dari Islam, Qadiani dan terkini, Ahmadi contohnya. Tidak kurang yang mengaku Imam Mahadi atau pemegang panji-panji Mahadi.
Edisi cuba mencari apakah rahsia pemikat ajaran sesat. Inilah jawapannya:
TAFSIR AGAMA IKUT NAFSU MELULU
Ada yang mentafsirkan ayat al-Quran mengikut nafsu melulu. Misalnya, ayat tentang keizinan menikahi wanita hingga empat orang, ditafsirkan bahawa lelaki boleh menikahi serentak sebanyak dua + tiga + empat + satu = 10 orang. Ajaran seperti ini amat menarik nafsu mereka yang memang mahunya begitu.
BOLEH BERMUDAH-MUDAH DALAM AGAMA
Ada yang berhujah agama Islam mudah diamalkan, lalu mereka mencari jalan mempermudahkan tanpa landasan. Misalnya, solat tidak perlu susah-payah dilakukan, memadai sahaja dengan niat di dalam hati. Perkara ini menarik orang yang memang sudah merasa berat beramal dengan agama.
MENCARI BERKAT DENGAN SENANG
Berkat memang perlu dicari, dan salah satu cara termudah adalah dengan menyandarkan semuanya kepada guru yang kononnya penuh keberkatan. Rambut dan seluruh bulunya, air liur dan peluhnya, cebisan pakaian malah gambarnya, semuanya menjadi asbab keberkatan.
MENCARI JALAN SINGKAT PAHALA KE SYURGA
Syurga itu perlu dicari, namun adakah jalan singkatnya juga disediakan? Dengan ajaran sesat, pahala dan syurga dipermudahkan dengan cukup melakukan amalan ringkas, misalnya mengabdikan diri kepada guru, meminta doa dengan terlebih dulu memuja guru dan sebagainya.
MAHU DOSA DIAMPUNKAN
Ada yang takut nanti selepas mati dia dimasukkan ke dalam neraka. Maka, apabila ada ajaran yang menawarkan pengampunan dosa, itulah jalan termudah untuk menghapuskan dosa dan masuk ke dalam syurga. Jika guru boleh mengampunkan dosa, mahu apa lagi?
TERINGIN ADA GURU YANG MEMBIMBING
Memang kita dianjurkan agar berguru, namun pastikanlah guru itu betul. Jika si guru mula menyebut perkara yang meragukan, maka syaklah ada yang tidak kena. Misalnya guru meminta dia diberikan waktu berdua-duaan dengan murid perempuan di dalam bilik, sungguh pelik jika ia dianggap biasa.
MENGUTAMAKAN KESERONOKAN
Selalunya ajaran sesat memang menawarkan keseronokan bagi pengikutnya, walaupun hanya menjadi gula-gula sahaja. Misalnya, dengan zikir tertentu nanti duit pun jatuh dari langit. Jika begitu, para sahabat pasti lebih dahulu menikmatinya kerana merekalah juara dalam berzikir kepada Allah SWT.
MENJANJIKAN KEHEBATAN
Ajaran ini adakalanya menjanjikan kehebatan tertentu. Misalnya, menjadi kebal, menjadi hebat, menguasai orang lain dan sebagainya. Berhati-hatilah, jika mantera yang diberi pelik bunyinya, ia adalah sebahagian dari ajaran sesat.
Demikianlah sedikit sebanyak ciri-ciri ajaran sesat yang wajar kita hindari. Selain itu, jika kita sendiri menemui kumpulan ajaran sesat ini, maka jangan hanya berdiam diri. Sila hubungi Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di talian 1-800-88-2424. Bertindaklah demi keselamatan akidah bersama. Edisi