Fokus

SESAT DAN TAUBAT SESAT DAN TAUBAT SILIH BERGANTI

Taubat air mata buaya? Sekali dengar, terasa sinis. Namun itulah realiti bagi sebahagian penganut dan pengamal ajaran sesat di negeri ini. Kala sesi taubat dijalankan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), tangisnya pecah bak air bah. Teresak-esak sambil mengaku bersalah. Terasa benar mereka sudah bertaubat. Terasa benar berkesannya segala nasihat. Terasa, mereka pasti berubah sehabis sesi nanti. 

Oleh

Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid (hamizul@zakatselangor.com.my) Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Aduhai, ternyata air mata itu palsu. Tangisan buaya, sambil air matanya keluar, mangsa dibaham juga. Alim-alim kucing. Lauk di depan pura-pura tidak kelihatan. Pantang lepa, hilang sekelip mata dimakan.

Fenomena ini amat menjerakan sekali. Penganut ajaran sesat ini bagaikan sudah belajar seni ‘tangis hiba’ itu sekian lama. Aksi mereka ‘live’ sekali, kalah sang primadona. Setelah bebas, ternyata tidak lama kemudian kembali terdakwa. Ajaran salah itu kembali bergelora di jiwa, seakan-akan taubat kelmarin tiada ertinya.

Saya teringat cerita seorang sahabat, sekitar tahun 1994 selepas ajaran Jemaah al-Arqam difatwakan sesat, sebahagian anak-anak mereka ditempatkan di sebuah sekolah agama milik kerajaan untuk pemulihan. Ternyata, di sana mereka giat mempromosikan ‘sang Abuya’. Misalnya, doa mesti menyelitkan nama Abuya, biar lebih makbul. Pendeknya, Abuya hidup dalam jiwa dan sanubari mereka, lebih subur dari hidupnya Rasulullah SAW hidup di dalam hati mereka.

MAIS dan seluruh agensinya tidak pernah berhenti menangani ajaran sesat ini di negeri Selangor. Kajian dan siasatan tidak pernah berhenti, khususnya melibatkan kumpulan-kumpulan ajaran sesat yang bijak menukar modus operandi. Masyarakat umum mungkin tidak sedar, namun isu mengenai Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) misalnya, telah lama diperhatikan, sejak tahun awal 2000-an lagi. Biar pun namanya berubah, jiwa dan hati mereka masih pada Abuya.

Namun, sukar mengenakan tindakan ke atas mereka. Kumpulan ini pandai menyesuaikan diri di dalam masyarakat, sehingga tidak terzahir ada yang sesat. Apatah lagi, penyelewengan itu bersifat akidah. Amat sukar menyatakan akidah sekumpulan manusia telah sesat. Perlu kepada bukti yang tidak terbantahkan. Jika tidak, semuanya akan sia-sia. Lebih parah, akan dianggap sebagai fitnah.

Maka, MAIS menerusi agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) amat perlu berhati-hati. Segala bukti yang diperolehi akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor agar mereka boleh difatwakan sesat. Misalnya bagi kes GISBH, fatwa rasmi telah pun dikeluarkan pada 16 Oktober 2024 bahawa GISBH dan seluruh rangkaiannya mempunyai elemen elemen yang menyeleweng daripada ajaran Islam dari aspek akidah dan syariat.

Dengan fatwa inilah MAIS akan memulakan semula langkahnlangkah bagi memulihkan mereka. Ada dalam kalangan mereka dengan rela hati menyerah diri, namun tidak kurang ramai juga yang lari. Mereka yang didapati terseleweng ini akan cuba dipulihkan kembali. Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan banyak lagi pihak lain dilibatkan sama dengan peruntukan asnaf al-riqab bagi maksud ini. Sungguh, ini bukanlah pekerjaan biasa-biasa. Ini sesuatu yang besar dan mencabar.

Bagi melaksanakan tanggungjawab pemulihan sepertimana fatwa yang telah diwartakan, MAIS bersama agensi Kerajaan Negeri termasuk semua agensi hal ehwal Islam Selangor merangka dan menggerakkan pelan tindakan pemulihan kepada pengikut GISBH termasuk kanak-kanak dan orang dewasa. MAIS melalui Rumah Pemulihan Majlis dan Rumah Pemulihan Al-Riqab membantu mereka melalui proses pemulihan merangkumi di antaranya pemulihan akidah, syariah, dan akhlak; perlindungan dan keselamatan; bimbingan dan kaunseling, termasuk melalui proses Istitabah. Modul Istitabah merangkumi empat bahagian iaitu: saringan, rawatan kerohanian, pemulihan, pengukuhan dan sokongan. Bagi membantu bekas ahli GISBH kembali hidup di dalam masyarakat secara normal adalah seperti berikut :

  • Program pemulihan akidah (Modul Istitabah)
  • Kelas Kemahiran semasa dalam Rumah/Pusat Pemulihan
  • Bantuan melalui zakat mengikut kelayakan
  • Kelas akademik semasa dalam Rumah/Pusat Pemulihan

Apa yang kita harapkan, usaha MAIS dan seluruh agensi yang berkaitan ini tidak akan sia-sia. Cukuplah sudah tangisan air mata buaya itu. Gantikan dengan tangisan air mata keinsafan. Belajarlah mengakui kesalahan diri. Sedarlah dan bertaubatlah dengan taubat yang tidak ada hentinya. Moga Allah SWT memberikan taufik dan hidayah-Nya, amin. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button