URUS HARTA SEBELUM KE MEKAH
Setiap calon haji dan hajah, akan memaksa diri mencari ilmu secukupnya. Sanggup berkursus dan melakukan simulasi. Cita-citanya, agar nanti hajinya sah. Baguslah begitu. Pun begitu, kita wajib sedar bahawa kualiti ibadah haji turut berkait rapat dengan banyak perkara. Ilmu manasik haji memang wajib dicari, namun bagaimana dengan aspek pengurusan harta khususnya zakat, hutang-piutang, wasiat, hibah dan sebagainya lagi?
Eh, perlukah semua ini diambil tahu? Jawapannya, tepuk dada tanya hati. Pemilik diri dan harta itulah sendiri yang tahu apakah dia wajib mengambil tahu ataupun tidak.
Pengurusan harta memang sedikit bermasalah. Ini kerana, rata-rata orang kita kurang cakna dengan isu pengurusan harta. Ada beberapa isu mengenai pengurusan harta ini yang perlu ditangani sebelum kita menunaikan haji, iaitu:
Jika kita masih ada hutang dengan pihak lain, maka usahakanlah ia dilangsaikan sebelum kita pergi menunaikan haji. Hutang ini merujuk kepada hutang yang sudah sampai tempoh melunaskannya, misalnya hutang kepada adik-beradik dan kawan-kawan. Ramai orang tidak kisah tentang hutang seperti ini. Padahal kematian yang di sisinya ada hutang, menyebabkan dia akan susah di akhirat nanti.
Apa yang dimaksudkan ialah, elok bagi calon haji dan hajah menyediakan satu wasiat sebelum mereka ke tanah suci. Wasiat ini bukan mengenai harta pusaka, namun mengenai hutangpiutang jika perkara (a) di atas tidak sempat dilangsaikannya. Jika meninggal dunia, maka waris hendaklah menggunakan harta si mati untuk melangsaikan dahulu hutang-hutangnya. Begitu juga jika ada orang lain yang berhutang dengan dia, maka dengan adanya wasiat, itu membolehkan waris menuntut hak mereka (lampirkan dokumen berkaitan jika perlu).
Ini pilihan agar andai calon haji pergi tak kembali (meninggal dunia), maka waris yang ditinggalkan, termasuklah anak atau ibu bapa angkat tidak lagi akan berebut harta pusaka.
Ramai yang beranggapan zakat mereka selesai jika dana haji tersimpan di Tabung Haji (TH). Jawapannya, kena semak juga dana yang tersimpan di pelbagai tempat lain atau dalam bentuk yang lain. Emas di ar-Rahnu, emas pelaburan, dana dalam pelbagai saham dan simpanan, pelbagai pendapatan dan sebagainya lagi. Jangan main agak-agak sahaja, kerana zakat wajib dilunasi setepat-tepatnya.
Demikianlah, menunaikan haji bukan sekadar dengan ilmu haji, ilmu harta pun jangan dilupa. MAIS menyediakan pelbagai kemudahan untuk anda. Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), khidmat wasiat, hibah dan sebagainya lagi, ada untuk semua. Semoga ibadah haji kita mabrur; diiringi jiwa yang tenang dan aman di alam kubur, amin. Wallahua’lam. Edisi